Hari ini, aku berjaya menyewa sebuah bilik hotel di tengah-tengah kawasan gelap bandar Pulau Pinang. Aku akan menyewa untuk sebulan lamanaya. Apek yang menjaga hotel lama murah ini sejak 50 tahun dulu sudi menyewakan bilik ini kepada aku dengan harga RM800. Jatuh lebih kurang RM30 untuk satu hari.
Bilik tingkat atas, mengadap jalan. Ada penghawa dingin lama jenama National, sudah kuning dimakan usia, katil single, dengan cadar petak-petak buatan China, sangat olskool. Tuala dengan jalur melintang yang menggerikan... yang aku syak mungkin ada saki baki 'herpes', diberikan kepada tetamu hotel (sumpah aku tak akan pakai). Di satu sudut, ada satu meja cermin yang sudah kelabu. Di tepinya pula, ada satu meja tulis kayu, besarnya seperti meja sekolah. Cukup ruang untuk meletak komputer riba, dan mungkin sebotol minuman. Bilik berwarna kuning...atau, krim? aku tidak pasti... Cat dindingnya pula dari cat kilat yang mungkin baru sahaja disapu beberapa bulan lepas. Bilik yang sangat sederhana ini, dan sebenarnya agak menyeramkan ini, akan jadi tempat aku bersembunyi, sambil memerhatikan manusia-manusia yang rata-ratanya dari kelompok yang dimarjinalisasi oleh masyarakat, yang berkeliaran di jalan berdekatan.
Di bawah hotel, pelacur yang mencari sesuap nasi, berlegar dari mula malam sehingga ke pagi. Mat gian mencari bahan dan menjual bahan, bersepahan. Tranny, anak gelandangan tepi jalan, Kutu-kutu, samseng, segala bentuk manusia yang entah kenapa hidupnya 'tersangkut' di tengah-tengah kawasan gelap kota ini.
Tambah menarik, di sini dipenuhi remaja dari eropah dengan falsafah mudah, menggalas beg besar, untuk melihat dunia di sebelah sini. Rata-ratanya ramah tamah, walaupun berjaga-jaga, mungkin menyangka aku adalah 'hasla' yang mahu memperdaya. Mungkin dengan sebotol dua sesi suai kenal masa minum malam nanti, aku akan punya kawan di kalangan mereka. Mudah jika satu hari nanti, aku ke sebelah benua sana pula.
Berbalik ke persekitaran hotel ini,tempat ini bising. Namun , sangat menenangkan bagi aku. Mungkin aku sunyi, lalu memerlukan kebisingan ini. Yang pastinya, aku selesa di sini. Tiada siapa yang cuba jadi ejen Tuhan di sini. Mereka rasa berkongsi 'neraka' yang sama. Tiada siapa melihat orang lain lebih hitam dari mereka.
Aku harap, aku dapat siapkan skrip 'feature' aku disini. Di samping aku belek-belek tugasan akademik aku. Aku harap 'advencer' aku di sini, direstui.
end.
No comments:
Post a Comment