Malam ini aku pilih untuk duduk sahaja di dalam bilik. Baru sahaja menghabiskan bacaan akademik yang perlu. Di luar, malam minggu masih lagi meriah. Majoriti di luar sana adalah di kalangan kolar biru dan putih yang cuba meraikan hari tidak bekerja mereka. Malam ini malam suka ria, malam nafsu, malam rindu, malam eskapis dari realiti seminggu. Namun bagi aku, aku peduli apa pada malam minggu, aku tidak bekerja. Ianya tidak memberi apa-apa signifikan kepada aku.
Malam ini, dengan malam-malam yang lain, tidak ada bezanya.Aku tidak terikat dengan apa-apa komitmen. Cuma jadual longgar dari cubaan aku untuk disiplinkan diri. Di luar sana terlalu bising. Aku rimas. Berteman komputer riba ini, dan sebotol bru, serta sekotak Marlboro yang masih banyak isinya. Aku cuba melayani malam ini bersendirian. Tiba-tiba aku teringat hal yang berlaku sebentar tadi.
***
Sebentar tadi, sebelum aku masuk ke bilik, ramai yang sedang memberi perhatian kepada bola sepak. Pertandingan akhir piala paling berprestij negara baru sahaja tamat. Aku pilih menontonnya dengan Alex di lobi bawah hotel. Kesudahannya, sudah dijangka. Aku sebagai half-breed, meraikan kemenangan pasukan dari negeri sebelah Timur itu. Namun tiada keterujaan yang total. Kemenangan yang tidak sepenuhnya dimahukan oleh aku.
Kemudiannya, aku meminta Alex menukar ke saluran liga Inggeris. Masih tidak terlambat untuk aku menonton pasukan hidup-mati-aku. Aku menontonnya pada 20 minit yang terakhir. Dan berakhir dengan pasukan tersebut menang 1-0. Ini aku agak gembira. Semakin aku dewasa, tidak banyak perkara yang dapat menggembirakan aku. Salah satu yang dapat memberi aku sedikit rasa gembira, adalah kemenangan pasukan ini. Walau bagaimanapun, aku tahu, musim liga Inggeris kali ini, aku tidak akan gembira selalu. Pasukan ini nampaknya begitu 'struggle' untuk menang setiap perlawanan. Pasukan ini sudah tidak segah dahulu. Apapun, aku tetap akan menyanyikan anthem "You'll Never Walk Alone" dengan rasa bangga. Ianya bukan sekadar sebuah kelab bola sepak bagi aku.
Sebaik tamat perlawanan tersebut, aku minta diri naik ke bilik. Alex sempat mengusik aku. Tidak percaya, orang semuda aku mahu masuk tidur seawal itu. Tambah-tambah aku sedang berada di kawasan paling panas. Aku hanya memberitahunya aku sudah sangat mengantuk.
Sebelum aku beredar Alex sempat melontarkan pertanyaan kepada aku. Pertanyaan yang aku tidak sangka akan terkeluar dari mulut cina tua itu.
" Ei, Lu ada problem dengan bini lu ka?" Aku tersentak, tidak menyangka soalan sebegitu kan terpacul dari mulutnya yang tidak lekang rokok itu.
"Apek, saya tak kahwin lagi la..." Aku balas pendek. Mengharapkan apek tersebut tidak cuba bertanya banyak lagi. Aku agak rimas apabila diajukan soalan-soalan yang berbentuk peribadi sebegitu.
" Ooo, lu gaduh dengan girlfriend lu ka?" Jahanam. Apek ini masih cuba mengorek rahsia aku lagi. Ini kes naya.
" arrrr... apa pasal lu tanya? Bukan girlfriend la... eh mana apek tau saya ada problem ni? " Aku cuba menggunakan mekanisme bela diri paling primitif, iaitu menjawab soalan dengan soalan.
" Saya tengok lu pun saya tau la... ada problem punya orang, ala, kalau kecik punya hal, kasi telefon la, pujuk balik sama lu punya amoi... apa mau susah-susah kepala... "
" Susah la apek, itu amoi orang punya, lagipun, dia tak suka sama saya..." Akhirnya aku mengambil keputusan untuk melayan sahaja kuriositi apek ini. Lagipun, mungkin aku juga akan lega sedikit, ada yang sudi mendengar sesuatu yang terbuku di hati.
"Ooo itu macam ka? Haiya, habis tu macam mana dia punya gambar ada dalam lu punya wallet?"
" Arrr.... mana apek tahu ada gambar dia dalam wallet saya?" Ini sumpah di luar jangkaan aku. Tajam pula mata apek tua ni.
" Masa lu mahu kasi wang bayar sama saya semalam, saya ada nampak gambar dalam lu punya wallet...itu amoi ka?"
" hurm.. haah... ya,lah itu amoi la, gambar tu dia yang kasi, saya simpan la..." Aku buka wallet aku, tunjuk gambar yang dia maksudkan.
" Ini amoi leng lui arr apek?... cantik kan? " Aku cuba mengusik Alex, di samping itu, aku cuba memancing reaksinya. Aku tahu, gadis itu memang cantik. Cuma aku mahu lihat reaksi apek itu sahaja.
" hahahaha... cina ka melayu? cantik...cantik...kasi telefon la... apa mau gaduh-gaduh..." Aku tutup wallet aku, lalu sumbatkan kembali ke poket jeans belakang sebelah kanan. Aku nyalakan rokok hisap dalam-dalam dan hembus, sebelum aku sambung balik perbualan.
" Apek, kalau lah senang macam tu kan bagus... takpe lah apek, saya mau masuk tidur... sudah mengantuk oo" Aku bergerak menuju ke tangga.
" Dengar cakap saya... kasi telefon, suruh dia datang sini lah... jalan-jalan, bagi dia sejuk hati balik... orang perempuan arr, kena pandai pujuk sikit...nanti diaolang ok..."
Aku paling sambil angguk kepada cina tua itu, sebelum menaiki anak tangga. Dalam hati berdesit;
" Kalaulah semua perkara boleh diubah dengan hanya satu panggilan..."
***
Sehingga sekarang, aku masih memikirkan hal tersebut. Aku tahu ianya tidak mudah, bukan sahaja bagi aku, malahan bagi dia. Mungkin dia teramat bencikan aku sekarang. Dia ada hak untuk bersikap demikian. Aku terpaksa menerima apa sahaja anggapan, perasaannya terhadap aku sekarang ini.
Namun, bagi aku, aku pilih untuk sentiasa ingat yang baik-baik tentangnya. Dan kenangan itu sangat manis.
End.
No comments:
Post a Comment