Friday, October 26, 2012

Jurnal Garu #8

Perkara paling 'rare' yang aku akan buat adalah benarkan orang lain mengatur dan mengawal hidup aku. Vise versa, ianya juga perkara paling akhir untuk aku lakukan, iaitu, mengatur dan mengawal hidup orang lain.

Aku tidak akan sesekali benarkan orang lain mengawal hidup aku. Balasannya, aku juga tidak akan mengawal kehidupan orang lain. Selain itu, perkara paling tidak aku akan lakukan adalah 'menghakimi' orang lain. Baik dan salah itu kadangkala sangat subjektif, tambah-tambah lagi imoralis seperti aku. Apa yang 'benar' dan 'salah' itu bukan dalam konteks sempit yang hanya dilihat berdasarkan dogma-dogma kepercayaan spiritual. Ianya lebih dari itu.

Setiap hari aku bernekad, untuk menjalankan hidup aku sejujur mungkin. Tidak menyakiti makhluk lain. Dan yang paling penting, Aku hidup dengan cara aku. Di dalam masa yang sama, aku juga membiarkan pemikiran aku terbuka, dan sering bereksperimentasi dengan kehidupan ini. Sekiranya kehidupan aku sekarang salah, aku akan cari dan betulkan. Sekiranya jalan yang aku pilih ini  belum lagi betul, aku cari lagi intipati 'kebenaran' yang terdapat dalam hidup ini.

Apabila aku melanggar 'jangan' dan 'larangan', aku belajar sekiranya 'jangan' dan 'larangan' itu sememangnya tidak baik untuk aku. Aku mengambil risiko untuk mengalami sendiri konsekuensinya. Ya, kadang-kadang memang amat menyesal, tetapi lebih baik menyesal melakukannya dari menyesal tidak melakukan apa-apa.

Namun, selalunya, 'jangan' dan 'larangan' itu bersifat sebaliknya, terdapat banyak 'jangan' dan 'larangan' yang menjadikan aku adalah aku seperti sekarang. Dan aku amat selesa dengan diri aku sekarang. Sebagai diri aku sendiri. Bukan hidup berdasarkan apa yang dimahukan oleh orang lain, atau mengikut pandangan orang lain.

Dengan cara dan pegangan hidup seperti ini juga, hidup bagi aku adalah satu advencer yang tidak berkesudahan. Ada sahaja perkara baru yang berlaku. Graf hidup aku sentiasa meningkat dan memanjat dari satu titik ke titik yang lebih tinggi. kalau ia mula mendatar, aku akan resah, aku mula mencari jalan (bagi orang skema : mencari masalah) untuk aku terus berhibur dengan hidup aku.

Aku tidak mahu kehidupan biasa. Hidup dengan mengikut 'skema' itu adalah membosankan. Tiap-tiap hari menjalankan rutin. Hati dan jiwa sentiasa gebu tidak terusik. Tiada cabaran, tiada rempuhan adrenalin. Hidup yang comel.

Aku lebih suka 'mencabar' dari tunduk dan mengikut sahaja . Aku tidak dapat bayangkan sekiranya hidup aku jadi seperti ini... bangun, kerja, bayar petrol, makan nasi, keluar jumpa kawan, sembang perkara sama, balik rumah, tengok peti bongok, tidur dan esoknya kitaran skema dan comel ini berulang. Duh.....

Dan sekarang, aku sudah mula rindukan 'bilik' aku di lorong garu. Kampung ini. Membosankan. Harap esok, kalau tiada masalah. Aku sudah mahu balik ke 'teritori' yang tidak stabil itu.





1 comment:

  1. asslamualaikum
    Bro ... kau dah mati ke..syok pulak blog 2012 kau ni

    ReplyDelete