Saturday, October 6, 2012

Melankolia.

12-06 a.m (waktu catatan ini ditulis) aku masih dalam mode separa stoic. Ditemani rokok lari duti impot jenama John, berharga 4 ringgit, dibeli dari kedai nyonya di bawah apartment, aku berasap dari 2 jam tadi tak berhenti. Tidak tahu samada nikotina rokok murah ini terlalu rendah kandungannya kimianya, atau kekusutan yang aku hadapi tidak berjaya diredakan oleh ejen-ejen kanser itu, menyebabkan aku diselubungi kabus maut itu di dalam bilik yang serba terkatup.

Namun begitu, suasana yang hazardous ini menyenangkan, atau setidaknya mengurangkan resah aku.

Aku sebenarnya tidak terganggu dengan apa-apa masalah yang konkrit. Keresahan ini berlaku secara tiba-tiba. Mungkin ada beberapa perkara yang menganggu, seperti lambakan borang yang perlu aku isi dan aku hantar demi meraih sedikit belas ehsan dari kerajaan yang aku tidak suka, atau rasa sunyi yang datang tiba-tiba tanpa aku tahu mana datangnya. Juga mungkin rasa 'kosong' dengan hidup yang 'fuck-up' tanpa ada perkara-perkara yang menggembirakan. Tapi itu bukan punca sebenar. Resah ini datang secara tiba-tiba. Membawa sekali rasa ganjil 'kesedihan' dan 'kemurungan'.



Mungkin ini yang Kierkegaard maksudkan dengan perasaan melankolik yang dihadapinya. Ianya bukan rasa sedih perse atau sunyi perse. Tetapi lebih komplikated dari itu. Keadaan Eksistensial yang kelabu. Rasa sunyi dalam kewujudan diri yang kemudiannya diikut rasa 'gerhana' spiritual. Terkadang terjerumus ke dalam situasi komunikasi satu hala dengan Tuhan.

Sedih dan sunyi ini bukan satu situasi yang literal. Bukan diasosiasi dalam situasi bersendirian tetapi boleh sahaja di dalam keriuhan. Ianya satu keadaan yang bersifat 'dalaman' diri aku sendiri. Bukan keadaan atau situasi sekeliling, tetapi dalam diri aku sendiri.

Ianya seperti berada di bar yang riuh, namun kau masih merasa sunyi (simptom Charles Bukowksi). Seperti kata Ahmad Dhani juga ' persis dalam keramaian tetapi tetap merasa sunyi'. Bagi aku, hidup aku tidak sefaktab mana, tapi masih lagi kering dengan perkara-perkara yang menggembirakan.

Kadang-kadang 'kegembiraan' itu juga terasa jauh, bila aku sedar segala yang menggembirakan aku itu hanya berbentuk superfisial. Aku ketawa, tetapi ianya bukan ketawa yang 'genuine', jauh di dalam sudut hati aku, aku masih merasa 'kosong'.



Bagi mereka yang relijes, masalah aku ini sudah pastinya semudah memberitahu " kau pergi ambil wudhu'". Betul, tanpa aku nafikan, Infinite Intelligence bersama minda separa sedar aku akan kembali positif dan cuba menutup lubang-lubang hitam di dalam hati yang sering skeptikal, dan mengutamakan lojik. Aku percaya kepada kewujudan satu kuasa luar biasa yang mengatur segala bentuk order dalam kehidupan kita. Dan kuasa-kuasa itu harus diisi dengan harapan-harapan yang positif.

Namun, kerana sudah agak lama aku berada dalam mode stoic ini, dalam keadaan eksistens spiritual yang kelabu. Kadang-kadang perasaan ini terus timbul. Mahu tidak mahu aku tetap kena meladeninya. Harap-harap mungkin selepas aku tidur, esok, spiritual emosi dan kewarasan aku akan pulih.

Buat masa ini, maksud aku sekarang ini, aku perlu elak dari berjumpa dan berbual dengan sesiapa. Amat mudah aku menjadi ejen provokateur dan tidak tersengaja aku akan melukakan perasaan orang-orang yang disekeliling aku. Amat mudah aku bersikap seperti asshole atau douche, dan mencederakan orang-orang yang aku sayang dengan kelancangan mulut aku.

Aku tahu, keadaan ini bukan sesuatu yang baik.Dan ianya tidak akan difahami oleh sesiapa pun. Aku tak perlu untuk menerangkan bahawa aku tidak sengaja. Di waktu-waktu sensitif ini, adalah lebih baik aku berdiam sahaja, dan mengelak diri dari mencederakan perasaan orang lain, dan mungkin mencederakan perasaan aku sendiri. Ketawa sinis yang kecil boleh menjadi setajam bilah razor. Mungkin perkara remeh boleh menjadi perkara serius.



Keadaan ini sangat celaka...

Bila realiti bukan lagi padang permainan yang indah, mungkin ke alam mimpi yang ngeri aku boleh melarikan diri.


No comments:

Post a Comment